Bahawa sebahagian sahabat Rasulullah S.A.W berkata kepada Nabi SAW, Wahai Rasulullah, orang-orang
kaya telah mendapat banyak pahala. Mereka sembahyang sebagaimana kami sembahyang, mereka
berpuasa, sebagaimana kami berpuasa dan mereka bersedekah dengan lebihan harta mereka. Baginda
bersabda: Bukankah Allah telah menjadikan bagi kamu sesuatu yang kamu boleh bersedekah dengannya?.
Sesungguhnya dengan setiap kali tasbih itu adalah sedekah, setiap kali takbir itu adalah sedekah, setiap kali
tahmid itu adalah sedekah, setiap kali tahlil itu adalah sedekah, menyuruh amar ma’aruf itu sedekah,
menegah mungkar itu sedekah dan pada kemaluan seseorang kamu pun adalah sedekah. Mereka bertanya:
Ya Rasulullah, adakah apabila salah seorang kami melepaskan syahwanyapun dia beroleh pahala?. Baginda
bersabda: Bagaimana pandangan kamu, kalau dia melepaskan syahwatnya pada tempat haram, adakah dia
berdosa?. Maka demikian jugalah, apabila dia melepaskannya pada tempat yang halal, dia beroleh pahala.
Pengajaran hadis:
1. Para sahabat Rasulullah SAW telah menunjukkan suatu teladan yang baik, di mana mereka sering
berlumba-lumba mahu melakukan kebaikan.
2. Setiap amalan soleh mempunyai nilaiannya yang tersendiri di sisi Allah SWT dan ia tidak akan
dipersia-siakan sama sekali.
3. Banyak amalan soleh yang boleh dilakukan bagi menambahkan pahala kebajikan seperti bertasbih
iaitu mengucap subhanallah, bertahmid iaitu mengucap Alhamdulillah, bertahlil iaitu mengucap
Lailahaillallah menyuruh orang berbuat ma’aruf dan mencegah kemungkaran. Semuanya diberikan
pahala sedekah sehinggakan melakukan hubungan sekspun dianggap sedekah. Kerana kalau dia
berzina dia dianggap berdosa dan akan menerima azab. Alangkah indahnya ajaran Islam.
4. Bagi orang-orang kaya yang mempunyai kelebihan harta mereka hendaklah selalu bersedekah,
lebih-lebih lagi kalau mereka terlalu sibuk dengan urusan harta sehingga kurang masa untuk
melakukan amal ibadat sunat yang lain.
5. Seorang kaya yang suka bersedekah dan rajin pula melakukan ibadat sunat seperti berzikir yang
dianjurkan dalam hadis ini dia sudah tentu akan mendapat ganjaran dan darjat yang lebih tinggi di
sisi Allah SWT: